Thursday, August 14, 2014

Tips atasi masalah bayi tertidur ketika menyusu

Salam penuh keceriaan semua...hari ni saya nak berkongsi beberapa tips yang boleh kita praktikkan dalam menjayakan proses penyusuan dengan sempurna.

Sesetengah ibu sering kali menganggap apabila bayi mereka tertidur ketika sedang menyusu, menandakan bayi sudah kenyang. Secara umumnya, bayi menyusu mengikut kehendaknya iaitu antara setengah jam hingga dua jam.

Bagi saya sendiri, bayi saya akan merengek minta disusukan setiap satu setengah atau dua jam sekali. Ini adalah kerana proses pencernaan susu ibu mengambil masa yang singkat iaitu antara 60-90 minit sahaja berbanding susu formula antara 3-4 jam sekali.

Semasa proses penyusuan berlaku, bayi kerap tertidur. Bayi saya juga sering mengalami masalah yang sama diawal kelahirannya. Ini adalah kerana bayi yang baru lahir belum mengetahui masa tidur, masa makan dan sebagainya dengan teratur.

Bayi yang baru lahir biasanya akan tidur antara 16-18 jam sehari. Keadaan ini akan berubah apabila memasuki fasa lain - bulan ke 2 di mana bayi akan tidur antara 9-10 jam sahaja dalam sehari dan perubahan seterusnya akan berlaku mengikut tahap perkembangan tumbesarannya.

Walaupun kita tahu bahawa malam waktu tidur dan siang waktu berjaga dan melakukan aktiviti lainnya, bagi seorang bayi tiada beza. Bayi tidak dapat membezakan antara siang dan  malam kerana kelenjar otaknya belum matang bagi menghasilkan hormon yang menyebabkan rasa mengantuk (melatonin) dan hormon sedar (cortisol) . Semasa menyusu, bayi akan mula tertidur tetapi akan mudah terjaga apabila dikejutkan atau dirangsang.


  • Kejutkan bayi
     Δ Kejutkan bayi daripada tidur setiap 2 jam sekali jika bayi anda sering tidur. Ini bertujuan agar bayi anda mendapat susu ibu yang secukupnya. Secara tidak langsung, ini juga boleh mengelakkan daripada terjadinya bengkak payudara bagi Si ibu dan juga jaundis bagi bayi.

  • Urut
     Δ Lakukan urutan lembut pada kaki, tangan dan perut bayi. Semasa membuat urutan, anda boleh menyanyi, marhaban dan sebagainya untuk merangsang bayi kekal terjaga dan usap mulut bayi anda bagi merangsangnya mencari puting payudara anda.

  • Berinteraksi
     Δ Semasa menyusu, bayi lebih cenderung untuk memasuki fasa active sleep. Rangsang bayi anda untuk terus menyusu dengan mengurut lembut tapak kakinya, bercakap dengannya seolah-olah bayi anda memahami setiap patah perkataan yang anda ucapkan. 

  • Tekan payudara
     Δ Teknik menekan payudara juga boleh diperaktikkan. Picit dan tekan payudara anda - seperti memerah susu, apabila bayi berhenti menghisap. Apabila air susu mengalir keluar, secara tidak langsung bayi anda akan terangsang untuk menghisap susu.

  • Tempoh penyusuan
     Δ Sekiranya bayi kerap tertidur, susu yang diambil tidak mencukupi. Jumlah susu yang diterima oleh bayi bergantung kepada keaktifannya menghisap susu. Seandainya bayi anda kurang aktif menyusu, anda hendaklah memanjangkan tempoh penyusuan. Pastikan bayi anda menghisap sehingga dia sendiri melepaskan puting anda. Teruskan penyusuan seandainya bayi anda masih ingin menyusu.





No comments:

Post a Comment